Friday, 18 October 2013

Musafir Seorang Hamba Bhgn 2 : Dia Selamatkanku Dari Kemalangan

Terlalu banyak hikmah yang saya peroleh dari musafir saya ke Kuala Lumpur pada kali ini. Melalui pengalaman ini membuatkan saya semakin kuat meletakkan keberantungan dan pengharapan saya hanya padaNYA, Rabb Yang Satu.

Selepas selesai urusan di Kuala Lumpur, tepat jam 04.04 petang saya mula bertolak pulang ke Kuantan. Perjalanan berjalan lancar sehinggalah lepas saja sempadan Temerloh, hujan turun selebat-lebatnya. Pandangan cermin hadapan kereta menjadi sangat kabur kerana disirami air hujan yang turun mencurah-curah. Saya mula memperlahankan kereta. Bibir tidak berhenti berzikir dan memanjatkan doa mohon perlindungan dari kekasih teragung agar dijauhkan dari segala perkara buruk.

Tiba-tiba, saya mendengar bunyi geseran tayar yang sangat kuat kerana melawan arus air hujan yang mengalir deras. Kereta Myvi hijau itu bergegar kuat! Saya terkejut dan spontan memegang kemas stereng kereta. Saya sedar saat itu jika saya tidak dapat mengawal stereng kereta dengan baik, risiko untuk terbabas adalah sangat tinggi!

Tidak beberapa lama selepas itu saya terhidu bau hangit yang sangat kuat mencucuk hidung! Saya tidak pasti samada bau hangit itu datang dari arah tayar atau enjin kereta. Saya melihat cermin sisi dan cermin pandang belakang sekiranya ada keluar percikan api dan sebagainya namun tiada apa-apa yang pelik dapat dilihat. Sepatutnya saya perlu berhentikan kereta dan memeriksa apakah punca berlakunya masalah itu namun saya tiada keberanian itu memandangkan hujan sangat lebat dan saya pula memandu berseorangan saat itu.

Pada ketika itu saya rasa sangat cuak kerana bimbang kereta itu mati di tengah jalan dan saya tidak tahu nak minta pertolongan dari siapa. Saya hanya ada Allah saat itu, kekasih teragung saya! Dengan nada penuh mengharap saya berkata-kata denganNYA...

"Ya Allah... Aku hanya ada Engkau untuk ku meminta pertolongan... tiada yang dapat menolongku melainkan Engkau Ya Allah... kasihanilah daku Ya Allah... Aku mohon Ya Allah izinkan aku selamat tiba di rumah... Janganlah Engkau biarkan ianya mati di tengan jalan... Bantu aku Ya Allah... Sesungguhnya Engkau tahu yang aku hanya ada Engkau... dan hanya pada Engkau tempat ku bergantung dan berharap... Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, wahai Tuhan Yang Maha Mendengar... perkenankan doaku Ya Allah....."

Saya meletakkan lebih 500% keyakinan dan keberantungan hanya padaNYA. Kerna saya tahu DIA sajalah yang saya ada dan DIAlah HERO saya! Tiba saja di simpang hadapan taman perumahan kami, saya merasakan yang stereng kereta jadi sangat ketat dan tidak boleh dipulas! Kereta tersebut tidak boleh membelok lalu saya mengambil keputusan untuk melalui jalan yang agak jauh sedikit. Sungguh DIA mendengar doaku! Alhamdulillah saya selamat tiba di rumah pada jam 7.17 petang.

Pada hari berikutnya abah menghantar kereta tersebut ke bengkel. Abah sungguh terkejut pabila diberitahu oleh mekanik di situ yang kereta itu telah rosak teruk! Wayar kipas telah terputus dan banyak yang telah rosak! Pulang saja ke rumah abah terus bertanya kepada saya bagaimana saya boleh bawa kereta itu sedangkan ianya telah rosak teruk? Saya hanya tersengih. Dalam hati saya tidak berhenti memujaNYA kerna tanpa DIA saya mungkin telah mengalami kemalangan jalan raya!

Terima kasih Allah kerana selalu menyelamatkan saya dan melindungi saya dari sebarang musibah... Sungguh, Engkaulah Hero ku! I LOVE ALLAH!




Tarian jemari,

KHADIJAH SHUKRI
Trillion Hearts Royal Sidr Honey








No comments:

Post a Comment