Thursday, 17 October 2013

ALLAH IS SO SWEET!

Pada 8 Oktober lalu saya bertemu kembali dengan sahabat sekelas saya sewaktu di SMKA TAHAP dan dia memberi hadiah kepada saya yang mana hadiah itu tidak ternilai harganya, iaitu sebuah buku dari mentor kami, 'Magnet Kekayaan & Kejayaan'. Saya rasa sangat terharu saat membacanya kerana terlalu banyak ilmu yang saya peroleh dari buku tersebut dan membacanya membuatkan saya merasai seolah-olah berada kembali dalam kelas mentor kami itu!

Alhamdulillah, tiada yang dapat saya lafazkan selain kalimah syukur kerana bermulanya detik itu, dimana saya mula beranikan diri menghadiri program Dr Azizan Osman, minda & perspeksi hidup saya benar-benar berubah! Saya bukan memuja dirinya mahupun terlalu taasub dengan beliau... saya sekadar menghargai usahanya untuk menambah nilai & mengubah hidup ribuan manusia terutama bangsanya sendiri. Namun realiti masyarakat kini, ramai yang sering menyalah tafsir niat baik seseorang malah ada yang lebih buruk menghina, mengutuk serta memfitnah niat baik orang lain. Astaghfirullah...

Dalam hidup ini, kita diberi pilihan, samada untuk memilih jalan yang lurus mahupun bengkak-bengkok, samada untuk memilih yang baik atau yang buruk, menjadi insan yg soleh & musleh atau sebaliknya. Pilihan itu semua terletak di tangan kita! Kedua-dua pilihan itu, baik atau buruk, walaupun merupakan Qada dan Qadar Allah SWT, adalah hasil daripada pilihan yang dibuat kita! Jika dinisbahkan perkara keji atau tidak baik itu kepada Allah SWT, ia merupakan satu pendustaan kepada Allah SWT sebagaimana firmanNYA dalam Surah Al A'raf, ayat 28;

"Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata, 'Kami mendapati nenek moyang kami melakukan yang demikian, dan Allah menyuruh kami mengerjakannya.' Katakanlah 'Sesungguhnya Allah tidak pernah menyuruh berbuat keji. Mengapa kamu membicarakan tentang Allah apa yang tidak kamu ketahui?'"

Untuk mengecap bahagia, kita haruslah membahagiakan orang lain terlebih dahulu, maka In Shaa Allah kita akan merasa sangat bahagia. Berilah sebanyak-banyaknya, doakan kebaikan untuk semua orang termasuk insan yang kita benci, maka lihatlah keajaiban yang berlaku dalam hidup!

"The easiest way to get what you want is to help others get what they want." -Deepak Chopra-

Selalulah berfikiran positif dan bersangka baik dengan semua orang terutama Allah SWT kerana Allah itu benar bersama sangkaan hambaNYA. Dan setiap apa yang kita fikir, rasa, cakap & lakukan itu adalah doa!

Rasulullah SAW bersabda; "Allah SWT berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKU, Aku mengingatinya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya nescaya Aku mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiku dalam jarak sejengkal, nescaya aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak." H.R. Abu Hurairah

Allahu Allah... saya sungguh tersentuh membaca hadis ini... Sungguh Allah itu Maka Kaya dengan kasih-sayang dan DIA amat dekat bagi orang yang mendekatiNYA... Benar, saya sendiri secara peribadi merasai rahmat kasih-sayangNYA itu memeluk erat diri saya... Ke mana saja saya pergi, terutama pabila saya berseorangan, saya dapat merasakan yang sungguh DIA amat dekat! Seolah-olah DIA memandang saya dengan penuh kasih-sayang...

Suka saya kongsikan cerita saya, dimana saat saya bermusafir seorang diri, sedang saya memandu, saya suka memandang ke dada langit dan bercakap-cakap denganNYA, ya, saya suka berbicara dengan kekasih teragung saya... denganNYA saja saya luahkan segalanya... segala cerita dan rahsia yang tersimpan kemas selama ini hanya DIA yang tahu... seperti anak kecil, saya mengadu kepadaNYA... tanpa sedar, kolam mata pecah dan mutiara jernih itu laju menuruni lembah pipi... terkadang terasa lelah dengan mehnah dunia... terasa kaki sangat lemah untuk melangkah... terasa diri tiada tenaga untuk meneruskan kehidupan. Namun, saat saya bermusafir seorang diri, saya rasa kuat & bertenaga! Kerana apa? Kerana saat itu saya terasa sangat dekat denganNYA dan saya tahu DIA sentiasa menemani saya ke mana saja saya berada.

Saat saya buntu dan menghadapi masalah... DIA menghantarkan 'malaikat' membantu menyelesaikan masalah saya... saat saya hilang punca & arah, DIA datang menunjukkan jalan... saat saya sedih dan berduka, pelukan rahmat kasih-sayangNYA sungguh menenangkan saya... Benar, DIA sangat dekat! Sungguh, DIA sememangnya dekat kepada hamba yang mendekatiNYA!

Sentiasalah bersangka baik denganNYA dalam apa jua keadaan sekalipun, samada dalam keadaan senang mahupun susah, saat sedang gembira mahupun berduka, saat diberi nikmat mahupun ujian, sentiasalah positif dengan Allah! DIA tidak akan sesekali menzalimi hamba-hambaNYA melainkan kitalah yang menzalimi diri kita sendiri. Namun, pintu taubat itu sentiasa terbuka luas buat hamba-hambaNYA. Sungguh, Allah itu Maha Baik! 

HE is So Sweet! I LOVE ALLAH!

Tarian jemari,

KHADIJAH SHUKRI
Trillion Hearts Royal Sidr Honey

No comments:

Post a Comment