Saturday 19 October 2013

Musafir Seorang Hamba Bhgn 3 : Ramainya Insan Berhati Mulia

Ada seorang kakak yang saya kenal semasa di program IMKK Dr Azizan Osman yang sangat ikhlas dan baik dengan saya. Dia melayani saya seperti anaknya sendiri. Pabila dia mengetahui masalah saya, dia bersungguh-sungguh ingin membantu menyelesaikannya. Sungguh, saya terharu dengan keikhlasannya itu. Sebelum ini dia telah banyak kali mempelawa saya ke rumahnya di Kuala Lumpur namun saya masih belum berkesempatan mengunjunginya. Sehinggalah pada kali ini saya sekali lagi ada urusan di Kuala Lumpur dan kebetulan urusan itu berhampiran dengan tempat tinggalnya. Jadi saya bertekad akan pergi juga ke rumahnya no matter what In Shaa Allah!

Dalam perancangan saya, saya nak tidur di rumahnya pada malam pertama saya di sana. Namun perancangan Allah itu lebih baik. Allah izin program pada malam itu tamat lewat malam dan tidak tahu mengapa saya rasa sangat tidak sedap hati. Kakak tu mesej saya beritahu dia demam dan tidak larat untuk mengambil saya. Jadi saya katakan padanya tidak mengapa. Instinct saya menyatakan ada sesuatu yang tidak kena. Disebabkan saya tidak dapat tidur di rumah kakak itu, kawan saya bermurah hati menyediakan penginapan di hotel berdekatan untuk saya dan seorang kawan.

Keesokan paginya kakak itu menghubungi saya. Katanya dia nak ke Nilai untuk berjumpa dengan anaknya jadi dia mahu memberi saya sedikit makanan yang dia buatkan untuk anaknya itu. Saya terharu menerima pemberiannya. Saya kongsikan makanan yang dia beri itu kepada semua kawan-kawan. Ada seorang anak kawan saya sangat menggemari dessert tersebut sehingga dia menjilat bekas itu! Kesian pula saya melihatnya... Banyak pahala kakak itu memberi kami semua makan kan... Alhamdulillah... :)

Allah izin program hari itu tamat awal jadi saya terus menghubungi kakak tersebut untuk menziarahinya. Alhamdulillah akhirnya tercapai juga hajat saya untuk mengunjungi rumahnya. Panjang kakak itu bercerita dan menerangkan kepada saya kenapa dia bersungguh-sungguh untuk berjumpa dengan saya. Baru saya tahu. Rupanya kakak itu beritahu yang dia telah menuntut ilmu perubatan Islam setelah tamat pengajian ijazahnya. Jadi dia ikhlas nak mengubati saya memandangkan saya pernah beritahunya akan masalah saya dahulu. Kakak itu beritahu makhluk itu tidak suka saya bertemu dengannya. Masa itu saya terfikir, adakah sebab itu saya rasa tak sedap hati pada malam sebelumnya? Hanya DIA yang Maha Mengetahui segalanya.

"Ya Allah, sungguh mulia hati kakak ini! Engkau berikan dia ganjaran yang sebaiknya Ya Allah... Berikan dia rezeki yang melimpah-ruah, permudahkan segala urusannya, makbulkan segala hajatnya, dan berkati hidupnya dunia dan akhirat, aamiin Ya Rabbal 'Aalaamiin..."

Sebenarnya saya telah berjanji untuk berjumpa dengan supplier saya pada petang itu. Tapi saya berat hati untuk pergi kerana saya ingin meluangkan masa menemani kakak tersebut memandangkan saya tidak dapat menunaikan janji saya kepadanya sebelum ini. Jadi saya menghubungi supplier saya dan minta untuk berjumpa dengannya pada keesokan harinya. Alhamdulillah dia faham dan setuju.

Kakak itu melayani saya seperti anaknya sendiri. Dia masakkan saya nasi goreng dan beberapa lauk, buatkan air dan sebagainya. Saya sungguh tersentuh dengan layanannya. Dia siap bekalkan saya air doa dan beri banyak pesanan dan nasihat kepada saya umpama seorang ibu menasihati anaknya... =,)

Keesokan harinya, seperti yang dijanjikan saya bersiap untuk berjumpa dengan supplier. Allah izin saya sesat tak jumpa jalan ke tempatnya. Saya menghubungi beliau. Supplier saya ini sangat baik orangnya. Dia sanggup ambil saya dan bawa ke tempatnya sedangkan boleh saja beliau hanya memberitahu saya jalan ke sana. Dia datang bersama anak terunanya menjemput saya di Petronas. Sepanjang saya di sana saya memerhatikan mereka anak-beranak. Saya melihat mereka sungguh bahagia. Kehidupan mereka menggambarkan kehidupan Rasulullah SAW...

Pabila makan, mereka anak-beranak akan makan dalam satu bekas atau pinggan. Saling suap-menyuap dan bersenda gurau. Seusai makan, supplier saya menyambung kerjanya sambil mendoakan kesejahteraan dan kebahagian untuk ahli keluarganya dalam bentuk syair arab. Saya melihat beliau melayan anak terunanya itu seperti sahabat karib. Pergi kemana-mana mesti bersama. Dan sungguh anaknya sememangnya anak yang soleh. Saya sengaja bertanya padanya perancangannya pada masa hadapan memandangkan dia baru tamat pengajian peringkat menengah. Dia beritahu saya yang sememangnya pendidikan di Yaman lagi bagus berbanding di sini namun dia akan sambung di sini saja kerana mahu menjaga mak dan ayahnya. Subhanallah, sungguh mulia pekerti anak ini. Terserlah sifat penyayang dan tanggungjawabnya sebagai anak soleh.

Isterinya memberitahu saya yang supplier saya ini pandai membaca hati orang. Mungkin itu kelebihan yang Allah beri pada beliau memandangkan beliau adalah seorang hafiz dimana 30 juzu' Al-Quran tersimpan didadanya. Subhanallah... Beliau bersungguh-sungguh mahu membantu saya pabila mengetahui masalah yang saya hadapi. Mulanya saya tersalah sangka dengannya. Astaghfirullah... Namun setelah mendengar sendiri cerita dari isterinya kini barulah saya faham niat sebenar beliau. Sungguh, saya telah dipertemukan dengan ramai insan berhati mulia... yang benar-benar ikhlas mahu membantu tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Dalam perjalanan kehidupan ini, kita sering diuji dengan perbagai dugaan dan cabaran. Namun, itu semualah yang telah mematangkan kita. Membuatkan kita menjadi insan yang lebih kuat dan lebih baik dari sebelumnya. Menjadikan kita semakin dekat kepadaNYA. Pabila setiap ujian dan dugaan yang datang itu dilihat dan dinilai dari sudut positif maka In Shaa Allah hanya yang positif datang kepada kita! Pabila memandang sesuatu kejadian itu dengan penuh hikmah, maka In Shaa Allah hati kan jadi tenang...

Manusia ibarat magnet, apa yang kita tarik itulah yang akan datang kepada kita. Jika kita menarik ketenangan, kebahagiaan, kekayaan dan kejayaan, maka itulah yang akan datang kepada kita. Begitulah sebaliknya. Pilihan itu di tangan kita! Jadi, buatlah pilihan yang bijak agar kita tidak menyesal di kemudian hari.

Sungguh, saya benar-benar bersyukur kerana ditemukan dengan ramai insan yang berhati mulia, yang sangat ikhlas menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hati benar tersentuh dengan kebaikan mereka. Saya hanya mampu kirimkan doa seikhlas hati semoga insan-insan ini sentiasa diberikan kebaikan dunia dan akhirah, dimakbulkan segala hajat, dipermudahkan segala urusan, diberikan kesihatan yang terbaik, diberikan rezeki yang melimpah-ruah, diberkati dan diredhai serta kaya dan berjaya dunia dan akhirat... perkenankanlah Ya Allah... aamiinn Ya Rabbal 'Aalaamiin...

I LOVE ALLAH!


Tarian jemari,

KHADIJAH SHUKRI
Trillion Hearts Royal Sidr Honey

No comments:

Post a Comment